Adakah DAP Semakin Terserlah Dengan Double Standard Dalam Isu Rasuah?

KOTA KINABALU, – DAP kini semakin dipersoalkan kredibilitinya apabila sikap ‘double standard’ mereka dalam isu rasuah kian jelas. Parti yang suatu ketika dahulu lantang melaungkan integriti dan kerajaan bersih kini dilihat membisu apabila skandal melibatkan sekutu sendiri meletup di hadapan mata rakyat.

Beberapa video tular yang mengaitkan sembilan wakil rakyat dan menteri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan dakwaan rasuah telah menjadi buah mulut rakyat, malah ada antaranya sudah pun diheret ke mahkamah. Namun, ketika skandal ini terbongkar, DAP tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tegas. Diam seribu bahasa.

Ironinya, apabila seorang pemimpin meninggalkan gabungan mereka, DAP segera melabel beliau sebagai korup. Perkara ini menimbulkan persoalan besar: adakah rasuah hanya dianggap salah apabila ia melibatkan musuh politik? Atau adakah integriti bagi DAP hanya sekadar slogan kosong yang digunakan mengikut keadaan?

Rakyat Sabah semakin melihat corak jelas dalam tindakan DAP – ketika menjadi pembangkang, mereka lantang, agresif dan tanpa kompromi menuduh pihak lain korup. Namun, sebaik sahaja berada dalam kerajaan, nada mereka berubah. Apa yang dahulu diperjuangkan kini hanya tinggal retorik, dan prinsip integriti yang dilaungkan selama ini seolah-olah boleh dijual beli.

Pemerhati politik menegaskan, keengganan DAP bersuara dalam skandal yang membabitkan sekutu sendiri menggambarkan parti itu tidak lagi berjuang demi kebenaran, sebaliknya hanya demi kelangsungan politik. Sikap ini dianggap menghina kecerdikan rakyat, yang kini mula menyedari wajah sebenar DAP.

Janji tentang kerajaan bersih dan bebas rasuah semakin dipandang sinis oleh rakyat Sabah. Apa yang dilihat hari ini hanyalah sebuah parti yang pandai beretorik tetapi gagal menegakkan prinsip apabila kuasa sudah berada dalam genggaman.