KOTA KINABALU, 12 Okt – Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah kini berdepan kemelut dalaman serius selepas beberapa pemimpin kanan parti bertindak keluar, sekali gus mencetuskan tanda tanya tentang kestabilan dan hala tuju parti itu menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Krisis itu semakin memuncak apabila bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, bersama beberapa sekutunya mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti baru-baru ini. Tindakan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pengabaian pemimpin berpengalaman serta campur tangan pimpinan pusat dari Semenanjung dalam urusan parti di Sabah.
Menurut pemerhati politik tempatan, keadaan tersebut telah mewujudkan perebutan kuasa dalaman apabila beberapa kumpulan dalam parti kini mula bersaing untuk merebut jawatan utama termasuk kerusi Pengerusi DAP Sabah.
“DAP kini berada dalam situasi paling genting di Sabah. Perpecahan antara kumpulan lama dan baharu semakin ketara, dan jika tidak dikawal, ia boleh melemahkan kekuatan jentera akar umbi mereka,” kata seorang penganalisis politik tempatan.
Sumber dalaman parti mendedahkan bahawa beberapa nama besar dalam DAP Sabah sedang mengatur langkah untuk menguasai kepimpinan baharu, sekaligus menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan ahli di peringkat cawangan dan bahagian.
Difahamkan, kemelut bermula apabila segelintir ahli mendakwa kepimpinan baharu menyisihkan tokoh-tokoh lama yang banyak berjasa memperkukuh pengaruh DAP di kawasan seperti Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.
“Masalah sebenar bukan soal dasar parti, tetapi soal penghargaan dan autonomi. Ramai ahli merasa DAP Sabah kini dikawal oleh tangan luar yang tidak memahami realiti politik tempatan,” ujar salah seorang ahli yang enggan namanya disiarkan.
Krisis dalaman ini berlaku ketika DAP berusaha menampilkan imej bersatu dalam Pakatan Harapan (PH), namun keadaan di Sabah dilihat semakin goyah terutama apabila beberapa tokoh penting parti tempatan mula hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.
Penganalisis turut berpandangan, perebutan kuasa ini akan melemahkan jentera pilihan raya DAP di Sabah, terutama di kawasan luar bandar yang memerlukan pendekatan akar umbi dan sokongan tempatan yang kuat.
“DAP mungkin masih kekal kuat di kawasan bandar, tetapi tanpa perpaduan dalaman dan kepimpinan yang dihormati, sukar untuk mereka mempertahankan kerusi sedia ada, apatah lagi menambah kawasan baharu,” katanya lagi.
Dengan perebutan jawatan Pengerusi DAP Sabah yang semakin sengit, masa depan parti itu kini bergantung kepada sejauh mana kepimpinan pusat mampu mendengar suara akar umbi dan menghentikan gelombang perpecahan yang semakin jelas di peringkat negeri.
