Rakyat Tanya: Ke Mana Perginya RM17 Billion?

KOTA KINABALU – Nama Jeffrey Kitingan sekali lagi menjadi tumpuan apabila dikaitkan dengan dakwaan serius melibatkan projek mega bernilai RM17 bilion yang kini dipersoalkan rakyat Sabah.

Walaupun beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berhubung penerimaan dana atau penyelewengan dalam projek tersebut, ramai pemerhati politik melihat penjelasan itu sekadar “jawapan selamat” tanpa bukti kukuh.

Menurut laporan yang berlegar di media sosial dan portal tempatan, projek berkenaan — yang kononnya bertujuan untuk mitigasi banjir dan pembangunan sungai di Sabah — didakwa gagal menunjukkan ketelusan dari segi aliran kewangan dan proses rundingan kontrak. Dakwaan paling berat menyebut bahawa dokumen ditandatangani tanpa melalui kelulusan penuh Kabinet Negeri, menimbulkan persoalan sama ada ia telah melanggar tatacara perolehan kerajaan.

“Setiap kali timbul isu besar, jawapan yang diberi tetap sama – hanya menafikan dan menuding jari kepada musuh politik. Tetapi rakyat sudah semakin sedar bahawa sesuatu yang bernilai berbilion ringgit tidak boleh sekadar disapu di bawah karpet,” kata seorang pemerhati politik tempatan.

Lebih membimbangkan, isu ini muncul ketika keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau kian merosot berikutan pelbagai kontroversi lain – termasuk dakwaan penerimaan RM1.78 juta dalam skandal perlombongan serta siasatan oleh SPRM yang masih berjalan.

Ramai menyoal, jika benar tiada salah laku, mengapa tiada laporan kewangan rasmi atau dokumen audit awam dibentangkan untuk menjernihkan keadaan? Mengapa hanya bergantung pada kenyataan politik tanpa bukti jelas?

Penganalisis memberi amaran bahawa jika dakwaan ini mempunyai asas, ia akan menjadi tamparan besar terhadap kredibiliti beliau dan parti pimpinannya yang selama ini menonjolkan imej “bersih dan berprinsip.”

“Ini bukan sekadar fitnah kecil. Jika benar ada unsur salah guna kuasa, ia merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat Sabah yang mempercayakan kepimpinan mereka untuk membangunkan negeri, bukan menggadaikan nama baiknya,” tegas seorang penganalisis bebas.

Kini, media sosial dibanjiri desakan agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap projek berbilion ringgit tersebut. Rakyat menuntut kejelasan — kerana setiap sen yang dikaitkan dengan nama pemimpin harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya.